KITA SAMA SAHAJA.. BEZANYA CUMA AMALAN KITA..

gambar hiasan


Diriwayatkan dari Nabi Ibrahim A.S, bahawa dia telah bertanya malaikat maut tentang rupanya ketika malaikat maut hendak mencabut orang yang ingkar pada perintah Allah.

Nabi Ibrahim A.S. bertanya kepada malaikat maut: “ Wahai malaikat maut, bolehkah kamu tunjukkan rupamu apabila kamu hendak mencabut nyawa orang yang zalim?”

Kata Nabi Ibrahim A.S. lagi: “ Wahai malaikat maut apakah kamu mampu memperlihatkan keadaan wajahmu ketika itu?”

 Kata malaikat maut: “ Wahai Ibrahim A.S. , aku sedia memperlihatkan wajahku pada ketika aku mencabut ruh orang-orang yang zalim.”

Kata malaikat maut lagi: “ Wahai Ibrahim A.S., kini berpalinglah kamu dari memandangku buat seketika.”


Lalu Nabi Ibrahim A.S. pun memalingkan mukanya buat seketika dan kemudiannya memaling kembali kearah malaikat maut. Nabi Ibrahim memandang malaikat maut yang mana dianya berbentuk lelaki hitam, rambutnya kerinting, baunya cukup busuk sekali, dianya memakai kain hitam, dari mulut dan lubang hidung malaikat maut itu keluar lidah api dan asap.

Apabila Nabi Ibrahim A.S. melihat akan keadaan malaikat maut beliau terus jatuh dan pengsan. Setelah Nabi Ibrahim A.S. sedar dari pengsan, maka malaikat maut pun kembali memperlihatkan wajahnya yang cantik.

Kata Nabi Ibrahim A.S.: “ Wahai malaikat maut, kalaulah orang yang zalim itu melihat mukamu sebelum mereka mati, maka yang demikian itu pun cukup memadai.”

Ibnu Abbas r.a. berkata: “ Nabi Ibrahim A.S. ialah orang yang cemburu, beliau mempunyai sebuah rumah untuk beliau beribadat. Apabila beliau hendak keluar maka beliau akan mengunci rumahnya terlebih dahulu. Maka pada suatu hari Nabi Ibrahim A.S. pulang ke rumahnya dan beliau terkejut apabila melihat ada seorang lelaki berada dalam rumahnya, lalu beliau pun berkata : “ Siapakah kamu ini yang sanggup memasuki rumahku?”

Maka lelaki itu berkata: “ Aku dimasukkan kedalam rumah ini oleh tuan punya rumah ini.”

Kata Nabi Ibrahim A.S.: “ Rumah ini aku yang punya.”

Kata Nabi Ibrahim A.S. lagi: “ Katakanlah kepadaku, adakah kamu ini malaikat?”

Kemudian lelaki berkata : “ Aku ialah malaikat maut.”

Kata Nabi Ibrahim A.S. : “ Bolehkah kamu tunjukkan kepadaku keadaan rupa bentukmu apabila kamu hendak mengambil roh orang Islam.”

Kata malaikat maut: “ Berpalinglah kamu dari diriku buat seketika.”

Lalu Nabi Ibrahim A.S. pun memalingkan mukanya buat seketika dan memandang kembali kearah malaikat maut. Alangkah terperanjatnya Nabi Ibrahim A.S. apabila melihat kecantikan rupa malaikat maut, rupanya seperti orang muda dan memakai kain yang cukup cantik dan penuh dengan keharuman baunya. Kata Nabi Ibrahim A.S. :  “ Wahai malaikat maut, jikalau tidak ditemui oleh orang mukmin ketika mati, selain rupa engkau, nescaya mencukupilah.”

Wahai saudara-saudaraku, kita sendiri belum tahu bagaimana rupa malaikat maut ketika hendak mengambil nyawa kita, yang pentingnya ialah kita hendaklah sentiasa berdoa yakni : “ Ya Allah, Ya Tuhanku, mudahkanlah keatasku sewaktu sakaratul maut.”

sumber: buku Himpunan Kisah-Kisah Teladan

0 comments:

Post a Comment