KITA SAMA SAHAJA.. BEZANYA CUMA AMALAN KITA..


 Dalam sebuah kitab menerangkan bahawa Rasulullah S.A.W. telah bertanya iblis laknat : “Wahai Iblis laknat apakah ikhtiar kamu sekarang ke atas umatku, sebab aku telah dibangkitkan untuk menyelamatkan semua bani Adam dari kafir kepada beriman kepada 
Allah S.W.T.

Lalu Iblis laknat mengangkat kepalanya kehadrat Allah S.W.T. dengan berkata :” Ya Rabbi! Demi kemuliaan Mu aku akan sentiasa bersungguh-sungguh untuk menarik semua anak-anak Adam melakukan kerja-kerja maksiat selagi mereka itu masih bernafas, dan hamba akan mencampurkan lelaki dan wanita bercampur gaul dengan bebas supaya senang hamba mencelah di dalamnya.”

Kemudian turun firman Allah yang bermaksud: “ Hai Mala’un demi kebesaran Ku dan ketinggian Ku! Bahawa Aku akan sentiasa sedia akan mengampuni dosa umat Muhammad selagi mereka itu meminta ampun kepadaKu.”

Rasulullah S.A.W. bertanya Iblis :” Wahai Iblis laknat, apa lagi yang engkau musykilkan?”

Kata Iblis laknat:” Ya Rasulullah S.A.W., sebenarnya hamba ini sangat hairan dengan perangai umatmu dalam 2 hal antaranya:-


   1. Mereka mengaku mencintai Allah S.W.T. padahal mereka itu taat      kepada hamba dengan mengerjakan maksiat.

   2. Mereka sangat marah kepadaku tetapi mereka sentiasa menurut segala hasutanku.”

Allah S.W.T. berfirman :” Hai Mala’un ! demi kemuliaan Ku dan kebesaran Ku, sesungguhnya Aku anugerahi ke atas umat Muhammad itu 2 kebahagiaan:

   1.Kasih mereka itu kepada Ku maka Aku jadikan keparah (Penebus dosa) bagi maksiat yang mereka telah lakukan kerana perdayaan kamu.

   2. Marah mereka itu kepada kamu maka Aku jadikan keparah (Penebus Dosa) bagi maksiat mereka lakukan kepadaku.”

Iblis laknat tercengang-cengang apabila mendengar bahwa umat Muhammad sangat-sangat dikasihi oleh Tuhan Al-Ghafuurur Rahiim yang amat sangat mengampuni lagi amat sangat mengasihani hambanya dengan limpah rahmatnya.

Wahai saudara-saudaraku dari cerita yang kita baca ini maka dapatlah kita sendiri fikir kembali tentang 2 perkara yang menjadi kehairanan Iblis laknat:-

   1. Apabila kita kata kita mencintai Tuhan yang menciptakan kita, tetapi mengapakah kita masih lagi membuat kerja-kerja yang mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T.

   2. Apabila kita kata kita sangat benci kepada Iblis dan kuncu-kuncunya tetapi mengapakah kita mengikut segala perangai dan hasutannya.

Wahai saudara-saudaraku,  Allah S.W.T. menyanyangi kita lebih 70 kali dari sayangnya seorang ibu kepada anaknya. Oleh itu apakah kita masih hendak menjadi hamba kepada syaitan. Bukankah Allah S.W.T. yang memberikan rezeki kepada kita dan kita menjadi talibarut syaitan.

Walaupun kita tahu syaitan itu jahat dan padanya tidak ada rasa malu, rasa belas kasih dan sebagainya tetapi perangai itu juga yang kita hendak ikut.

Keadaan hari ini ibarat manusia sudah hilang akal, Rasulullah S.A.W. telah mengajar kita supaya kita sentiasa berada dalam Islam pada setiap masa dan setiap keadaan tetapi hari ini kita dapat lihat dengan sendiri begitu banyak saudara-saudara kita yang tidak mahu mengikut cara hidup Islam. Mereka memilih cara hidup yang tidak bermoral seperti suka berjudi, meminum arak, berpakaian tetapi telanjang dan suka berdisko di kelab-kelab syaitan, suka berloncat-loncat dan menyanyi seperti orang yang sedang dibakar dalam api neraka dan sebagainya.

Kalau diadakan kiamullail dengan pesta syaitan maka kiaamullail itu akan tenggelam dan pesta syaitan itulah yang akan paling ramai orang mengikutnya.

Perkara seperti ini bukan perkara baru sebab Rasulullah S.A.W. telah bersabda bahawa diakhir zaman nanti manusia berpakaian tetapi telanjang. Yang kita sedih sekali melihat anak-anak muda kita sekarang tidak lagi malu-malu mendedahkan auratnya. Yang perempuan mendedahkan ¾ tubuhnya supaya orang lain melihat dan mengatakan tubuhnya seksi dan sebaliknya.

Haruslah ingat setiap pendedahan aurat yang membangkitkan nafsu orang yang melihatnya maka orang yang mendedahkan tubuhnya itu baik lelaki atau perempuan maka dia akan mendapat saham dari perkara yang mendorong orang melihatnya, dan dia jua akan mendapat ganjarannya apabila orang yang melihat itu mendorongnya melakukan maksiat.

Tidakkah seseorang perempuan itu merasa malu mendedahkan paha, dada, rambut dan sebagainya untuk ditonton kepada orang ramai. Bukankah seluruh anggota tubuh wanita itu aurat yang harus ditutup supaya tidak ada mata orang lain menjilat seluruh tubuhnya, apakah seorang perempuan itu merasa bangga apabila memperlihatkan tubuhnya kepada orang lain. Apakah dia tidak terfikir bahawa suatu hari nanti dia akan kahwin dan orang lain pula akan menceritakan perihal tubuhnya pada bakal suaminya.

Kalau dah ada anak selepas kahwin nanti tidakkah dia malu apabila anaknya itu melihat tubuhnya yang terdedah satu masa dahulu dalam majalah-majalah dan akhbar.

Janganlah jadikan Islam itu satu agama yang sama dengan agama-agama yang karut, agama Islam ialah satu agama yang diiktiraf oleh pencipta manusia iaitu Allah S.W.T. Kembalilah kepada Islam yang sejati dan sentiasalah ingat Allah itu sangat sayang kepada kita tetapi kitalah yang sangat zalim kepada Allah.

Janganlah cuba melawan kekuasaan Allah, kita ini tidak lebih hanyalah seperti katak di bawah tempurung sahaja. Kerajaan Allah itu amat luas dan janganlah kita mengatakan sesuatu yang kita tidak tahu tentang Allah. Katakanlah Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu 
akbar!....

sumber: Himpunan Kisah-Kisah Teladan

0 comments:

Post a Comment