KITA SAMA SAHAJA.. BEZANYA CUMA AMALAN KITA..



Pada zaman dahulu ada seorang solih dan alim yang sangat disukai oleh raja. Dia sentiasa berada di majlis raja untuk memberi pelajaran dan nasihat.

Orang solih itu menasihatkan: “ Berbuatlah kebaikan kepada orang yang berbuat baik, kerana orang yang berbuat jahat itu akan binasa oleh kejahatannya sendiri.”

Bagaimanapun apabila seseorang berbaik-baik kepada raja dengan tujuan baik dan ikhlas tentu ada orng yang tidak meyukainya kerana dengkinya. Demikian juga halnya dengan orang solih yang satu ini. Di sebalik hubungan baiknya dengan raja ada seseorang yang juga dekat dengan istana tidak senang melihatnya selalu berdampingan dengan raja dan ingin melenyapkannya.

Maka orang yang dengki itu mulai mencari cara untuk menghasut raja. Setelah menemukan suatu idea, pergilah dia menghadap raja sambil berkata: “Ampun tuanku! Orang solih yang sentiasa datang ke sini itu pernah berkata bahawa mulut raja berbau busuk.”

“Apa?” Kata raja dengan hairan.

Kemudian baginda bertanya lagi: “ Betulkah kata-katamu itu?”

“Betul tuanku.” Kata orang yang dengki.

Dia berkata pula:” Kalau tuanku ingin membuktikannya, sila perhatikan apabila dia bercakap dengan tuanku dia akan menutup hidungnya kerana tidak tahan dengan bau mulut tuanku.”

Raja Nampak agak marah dan berkata : Baiklah engkau! Aku akan cuba menyiasat kebenaran ini.”

Laporan orang yang dengki itu berhasil mempengaruhi fikiran raja. Si penghasut merasa gembira. Dia segera balik ke rumahnya dan memasak makanan yang banyak mengandungi bawang putih agar siapa saja memakannya mulutnya akan berbau. Setelah siap, dia menjemput orang solih yang didengkinya itu untuk makan bersama. Orang solih itu pun makan tanpa curiga apa-apa demi menghormati undangan walaupun dia tahu bahawa hidangannya banyak mengandungi bawang putih. Kemudian seperti biasa orang solih itupun pergi ke istana untuk memberikan nasihat dan pengajaran.

Raja berkata:” Sila dekatlah engkau kepadaku!”

Orang solih sedar bahawa dia baru saja makan makanan yang banyak mengandungi bawang putih dan tentu saja mulutnya masih berbau. Oleh kerana itu apabila telah dekat dengan raja, Dia menutup mulutnya dengan tangan agar raja tidak terganggu oleh baunya.
Kini raja berasa bahawa keterangan orang yang memberi laporan itu memang betul. Kerana ternyata orang solih itu benar-benar meletakkan tangannya pada hidungnya sebaik saja di mendekati. Raja marah, tapi ditahannya kemarahan itu di dalam hatinya agar tidak Nampak bahawa sikapnya berubah.

Raja tidak bercakap apa-apa. Baginda hanya mengambil sekeping kertas dan pen kemudian menulis surat kepada salah seorang pegawainya. Setelah siap, surat rahsia itu ditutup rapat dan diberikannya kepada orang solih yang disayanginya itu.

“Sila kau hantar surat ini kepada di polan..” kata raja.

Orang solih yang tidak tahu apa kandungan surat rahsia yang dibawanya, segera pergi memenuhi perintah raja. Sementara orang yang menghasut raja berada agak jauh dari istana sambil mengintai-intai tindakan apa yang diambil raja ke atas orang yang dia dengki. Ternyata dia melihat orang solih keluar dari istana dengan gembira sambil membawa amanah raja.


Dia segera mengejar dan bertanya” Apakah itu?”

Orang solih menjawab: Ini surat raja yang ditulisnya sendiri dan menyuruh saya menyampaikannya kepada si polan.”

“Berikan surat itu kepadaku, biar aku yang menyampaikannya.” Kata si penghasut. Dengan menghantar surat tersebut, dia ingin dirinya dianggap sebagai orang terdekat raja.

Pada mulanya orang solih itu tidak mahu memberikannya kerena dia tidak mahu mengkhianati amanah raja. Namun si penghasut memaksanya dan meminta dengan bersungguh-sungguh, maka dengan terpaksa diberikanlah surat itu. Dengan bangganya si penghasut pergi membawa surat raja kepada pegawai yang dituju.

Sebaik saja surat itu sampai, si penerima terus membukanya dan dibacanya dalam hati sambil disaksikan oleh penghasut yang menghantarnya. Surat itu berbunyi : “ Apabila pembawa surat ini sampai kepadamu, maka segeralah bunuhlah dia, lapah kulitnya dan hantar kepadaku.”

Pegawai yang menerima surat itupun berkata: “ Raja menyuruh aku agar membunuh kamu dan melapah kulit tubuhmu. “
Bukan main terperanjatnya si pembawa surat, dia menyesal bercampur geram dan sedih.

“Tidak! Tidak….! Sebenarnya surat ini bukan untukku. Oleh kerana itu aku minta izin dulu untuk melaporkan kepada raja.” Katanya sambil cuba untuk beredar namun segera ditahan oelh pegawai berkenaan.


Pegawai itu berkata lagi: “ Surat raja tidak boleh dibantar dan perintahnya harus dilaksanakan.”

Si penghasut cuba mengemukakan alasan dan perkara sebenarnya berkenaan dengan surat tersebut, namun tidak dihiraukan oleh pegawai. Maka diapun disembelih dan kulitnya dilapah untuk dihantar kepada raja.

Sementara orang solih yang sebenarnya akan dihukum tiba-tiba datang mengadap raja dan memberitahu bahawa surat yang dibawanya telah diambil secara paksa oleh temannya, dan dialah yang menghantarnya kepada pegawai yang dituju.

“ Astaghfirullah...” Keluh raja dalam hatinya. Baginda diam sejenak mengenangkan nasib yang menimpa orang yang menghantarkan suratnya.

Kemudian raja bertanya: “ Benarkah engkau ada mengatakan bahawa bau mulutku busuk?”

Orang solih menjawab :” Tidak! Sekali-kali tidak.”

Raja bertanya lagi:” Jadi mengapa ketika kamu bercakap denganku tadi engkau letakkan tanganmu dimulutmu?”

Orang solih menerangkan:” Ketika itu aku baru saja dijamu oleh teman yang meminta surat itu dengan makan yang banyak mengandungi bawang putih sehingga mulutku berbau. Maka aku tutup mulutku supaya raja tidak terganggu oleh bau mulutku itu.”

Raja mengeleng-ngelengkan kepala kehairanan. Kini baginda faham perkara sebenar dan tipu helah si penghasut dan kaki bodek yang sudah pasti terbunuh itu. 


Kemudian baginda berkata: “ Benar betul ajaran dan nasihatmu kepadaku bahawa orang yang jahat telah binasa kerana kejahatan yang dilakukannya sendiri.”

Begitulah bahayanya hasad dan dengki. Oleh kerana itu Rasulullah S.A.W. bersabda yang ertinya : “ Waspadalah engkau pada perbuatan dengki, kerana dengki itu memakan pada kebaikan seperti api memakan kayu bakar.”

0 comments:

Post a Comment