gambar hiasan |
Sebelum Umar r.a. memeluk Islam, dia merupakan orang yang paling kuat dan
tegas dalam pendiriannya lebih-lebih lagi dalam hal yang hendak membunuh
Rasulullah S.A.W. Pada suatu hari orang-orang
Quraisy mengadakan perhimpunan untuk memilih seorang yang layak untuk membunuh
baginda Rasulullah S.A.W.
Apabila perhimpunan bermula dan usul dibentangkan, berkatalah
orang-orang Quraisy itu, “ Tuan-tuan, siapakah di antara tuan-tuan yang sanggup
tampil ke hadapan untuk membunuh Rasulullah S.A.W. ?” Tiba-tiba Umar tampil ke
hadapan sambil berkata, “ Aku sanggup!” Maka berkata semua orang Quraisy itu, “
Ya memang Umar yang paling layak untuk menjalankan tugas ini!”
Dengan pedang yang tergantung di leher, maka Umar pun bertolak menuju
ke tempat kediaman Nabi S.A.W. Dalam perjalanan, Umar bertemu dengan Saad bin
Abi-Waqqas.
Saad bertanya, “ Wahai Umar ! Engkau hendak pergi kemana?” Jawab Umar,
Aku sebenarnya hendak pergi kerumah Nabi Muhammad untuk menghabiskan riwayat
hidupnya.”
Saad berkata lagi, “ Wahai Umar, kalau engkau tetap hendak meneruskan
pekerjaan mu itu, sudah tentu Bani Hashim, Bani Zuhrah dan Bani Abdi Manaf akan
membunuhmu sebagai tindak balas atas perbuatanmu!”
Apabila Umar mendengar keterangan dari Saad, dia merasa gelisah dan
berkata, “ Nampakmya engkaupun telah
meninggalkan agama nenek moyangmu dan adalah lebih baik aku bunuh engkau dulu.”
Umar dengan segera menghulurkan pedangnya dan pada masa yang sama, Saad
mengisytiharkan pengislamannya dan mengeluarkan pedangnya. Sebelum pertarungan
bermula, Saad sempat menyindir Umar dengan berkata,” Sebelum engkau bertarung
dengan aku, lebih baik engkau menjaga rumahtangga mu terlebih dahulu kerana
saudara perempuanmu dan iparmu juga telah memeluk agama Islam.
Perkataan yang keluar dari mulut Saad cukup menyakitkan hati Umar,
lebih sakit dari tikaman hujung pedang Saad. Kemarahan Umar tidak dapat dikawal
lagi menyebabkan dia meninggalkan Saad dan menuju ke rumah saudara
perempuannya.
Apabila Umar sampai di rumah tersebut, dia mendapati rumah itu berkunci
dari dalam. Oleh kerana marah yang menyala-nyala, Umar mengetuk pintu dengan
kuat dan memanggil saudara perempuannya dengan suara yang lantang.
Apabila Khabab mendengar suara Umar, diapun lari menyembunyikan diri
dengan meninggalkan masyaf-masyap Quran yang sedang dibaca oleh mereka.
Apabila pintu dibuka, Umar dengan segera menampar saudaranya sambil
berkata, “ Engkau telah mengkhianati dirimu sendiri dan engkau telah
meninggalkan agama yang dibawa oleh moyangmu!” Tamparan yang kuat itu telah
melukakan kepala saudaranya.
Walaupun kepala saudaranya berdarah, Umar tidak menghiraukannya tetapi
terus bertanya, “ Apakah yang engkau buat tadi? Dan suara siapakah yang
kudengar tadi!” Kemudian iparnya berkata, “ Kami hanya berbual-bual.” Umar
betanya lagi,” Adakah engkau telah meninggalkan agama yang dibawa oleh nenek
moyangmu?” Lalu iparnya itu menjawab,” Bagaimana kalau agama baru ini lebih
baik dari agama lama?”
Mendengar kata-kata yang diluahkan oleh iparnya itu, Umar bertambah
marah dan memukul iparnya dengan kejam dan menarik-narik janggut iparnya itu.
Apabila keadaan bertambah buruk, saudaranya cuba meleraikan tetapi dia juga
dipukul dengan teruk sehingga mukanya berlumuran dengan darah.
Sambil menangis, saudaranya berkata, “ Umar, engkau memukul kami di
sebabkan kami memeluk agama Islam dan dengarlah pengakuan dari kami bahawa kami
berazam untuk mati dalam Islam. Oleh itu, kalau engkau hendak melakukan apa saja
ke atas kami, engkau boleh lakukan. Namun kami tidak akan sekali-kali keluar
dari agama Islam.”
Setelah fikiran Umar kembali tenang, dia merasa sangat malu atas
perbuatan yang dilakukannya itu. Dan apabila dia menoleh, terpandang dia akan
masyaf-masyaf yang ditinggalkan oleh khabab tadi. Lalu Umar berkata, “ Baiklah,
tunjukan masyaf-masyaf itu kepadaku!” Dengan pantas saudaranya berkata, “
Tidak, anggota kamu tidak bersih. Oleh itu, kamu tidak boleh menyentuhnya!”
Akhirnya Umar membersihkan badannya dan mula membaca-baca masyaf-masyaf
itu. Umar membaca surah Thaha dari mula. Apabila sampai pada ayat 14 yang
berbunyi, “ Sesungguhnya Akulah Allah, tidak ada Tuhan kecuali Aku. Maka
sembahlah Aku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati aku.” Tidak semena-mena,
sikap dan pandangannya berubah, lalu Umar berkata, “ Bawalah aku bertemu dengan
Rasulullah S.A.W.”
Apabila Khabab mendengar ucapan itu, dia segera keluar dari tempat persembunyiannya
sambil berkata “ Wahai Umar, ini ada berita baik untukmu semalam (iaitu pada
malam Jumaat). Rasulullah telah mendoakan kepada Allah S.W.T. Kata Rasulullah:
Ya Allah kuatkanlah Islam kepada Umar atau Abu Jahal, sesiapa yang Engkau suka.
Nampaknya Allah S.W.T. telah memilihmu.”
Pada pagi Jumaat, Umar menemui Nabi S.A.W. dan Umar memeluk Islam.
Pengisytiharan Umar di atas pengislamannya merupakan satu tamparan hebat
terhadap kaum musyikin. Walaupun bilangan orang Islam ketika itu terlalu
sedikit berbanding dengan orang-orang kafir, mereka tetap berusaha untu
menghapuskan orang-orang Islam.
Dengan pengislaman Umar, Kaum muslimin bertambah berani kerana itu
merupakan satu kejayaan besar bagi kaum muslimin dan menjadi kebanggaan
orang-orang Islam.
sumber :Himpunan Kisah-Kisah Teladan..
0 comments:
Post a Comment