KITA SAMA SAHAJA.. BEZANYA CUMA AMALAN KITA..
Gambar Hiasan

Seorang lelaki yang berhijrah telah sampai di bumi Madinah. Perjalanan yang ditempuhinya sangat jauh. Mukanya pucat, badannya tidak bermaya dan bajunya dibasahi peluh. Dia pelukan makanan kerana sudah berhari-hari tidak makan. Dia juga perlukan pakaian, kerana sedia ada sudah hampir tidak mampu menutup aurat nya lagi.

Dia segera meminta pertolongan Rasulullah S.A.W. yang ketika itu berada di masjid. Rasulullah S.A.W. menyambutnya sebagai tetamu dan ikhwatul iman ( saudara dalam keimanan). Baginda S.A.W. menyambutnya dengan senang hati dan mendengar permintaannya. Hati kecil Baginda S.A.W. ingin membantunya, tetapi Baginda S.A.W. tidak mempunyai apa-apa untuk membantu.

Baginda S.A.W. berkata, “Maaf kerana aku tidak mempunyai apa-apa untuk kamu hari ini. Namun cubalah pergi kerumah puteriku, Fatimah. Mudah-mudahan di rumahnya ada sesuatu untuk memenuhi keperluanmu.”


Dia berangkat menuju ke rumah Fatimah diiringi Bilal bin Rabah. Sampai di sana, Fatimah menyambut kedua-duanya dengan penuh hormat, kemudian bertanya tentang asal usul tetamunya serta maksud kedatangannya.

Orang itu menjawab, “ Aku datang dari negeri yang jauh sekali kerana ingin bersama ayahmu, Rasulullah S.A.W. berhijrah. Sekarang aku sudah kehabisan bekalan, perutku lapar dan pakaian ku pun sudah lusuh. Rasulullah S.A.W. memerintahkan aku menemuimu, wahai Fatimah.”
Fatimah faham maksud kedatangan mereka berdua atas suruhan Rasulullah S.A.W. Dia segera menoleh ke kanan dan ke kiri, mencari sesuatu yang boleh disedekahkan. Nampak tidak ada apa-apa. Akhirnya dia melihat alas tidur yang biasa digunakan oleh Sayidina Hasan dan Sayidina Husain, kemudian memberikan kepada tetamunya. Tetamu itu menerima pemberian Fatimah dengan senang hati.

Dia berkata, “ Akan tetapi, aku perlukan makanan untuk mengembalikan tenaga keerana sudah lama tidak makan.”

Fatimah menjadi serba salah dan kasihan padanya kerana tidak ada apa-apa yang boleh diberikan kepadanya. Tanpa disedari, dia terpegang rantai yang dipakainya. Ia adalah rantai pemberian sepupunya ketika berkahwin dengan Sayidina Ali .

Walaupun ia sesuatu yang berharga dalam hidupnya, namun, kerana taat kepada perintah Rasulullah S.A.W. dan keindahan akhlaknya yang mudah berasa simpati dengan kesusahan orang lain, dia segera menanggalkan rantai yang dipakainya lalu diberikan kepada tetamu itu dan berkata, “ Ambillah rantai ini dan jualkanlah. Mudah-mudahan harganya cukup untuk memenuhi keperluanmu.”

Selepas itu, tetamu itu bersama Bilal kembali semula berjumpa Rasulullah S.A.W. dan menceritakan apa yang berlaku.

Rasulullah S.A.W. berkata, “ Jualkan rantai itu.”

Tidak berapa lama selepas Rasulullah S.A.W. mengucapkan perkataan itu, seorang Sahabat bernama ‘ Ammar bin Yasir bangun dan berkata, “ Wahai Rasulullah, izinkan aku membeli rantai itu.”

Rasulullah S.A.W. menjawab, “ Belilah wahai ‘Ammar.”

‘Ammar bertanya kepada tetamu itu, “ Berapakah harganya yang engkau ingin jual?” Dia menjawab, “ Aku akan menjualnya dengan kadar tukaran roti, daging yang mengenyangkan perutku, sehelai baju penutup tubhuku dan satu dinar wang untuk aku bawa balik kepada isteriku.”

‘Ammar berkata, “ Baiklah, aku beli rantai ini dengan 20 dinar dan 200 dirham, ditambah sehelai baju serta seekor unta agar engkau dapat berjumpa isterimu.”

Tetamu itu tergamam dan sangat bersyukur. Dia tidak terfikir akan mendapat tawaran sebegitu daripada ‘Ammar dan mengucapkan terima kasih kepadanya.

Selepas terjadinya ijab dan qabul (jual beli), ‘Ammar kembali ke rumah dan menemui pembantunya bernama Asham lalu berkata, “ Sekarang kamu pergi berjumpa Rasulullah S.A.W. Sampaikan pesanku kepada Baginda S.A.W. bahawa aku menghadiahkan rantai ini kepada Baginda sekali dengan dirimu. Sekarang engkau bukan lagi milikku, tetapi milik Rasulullah S.A.W.

Asham pergi berjumpa Rasulullah S.A.W. dan berasa gembira kerana akan menjadi orang suruhan kepada Baginda S.A.W. Selepas Asham menyampaikan pesanan daripada bekas tuannya, ‘Ammar, Rasulullah S.A.W. menerima kedua-dua hadiah itu dengan senang hati.

Kemudian Rasulullah S.A.W. berkata, “ Asham, sekarang engkau adalah milikku dan dengarlah dengan apa yang akan aku katakan. Pergilah kamu ke rumah puteriku Fatimah, dan katakan kepadanya bahawa rantai ini aku hadiahkan kepadanya dan aku juga hadiahkan engkau menjadi miliknya.”

Kemudian Asham pergi melaksanakan perintah Rasulullah S.A.W. Ketika sampai di rumah Fatimah, dia menyampaikan pesanan tersebut. Fatimah menyambutnya dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Siapa yang tidak bahagia apabila menerima hadiah daripada ayahanda sendiri.

Selepas menerima kedua-dua hadiah itu, Fatimah berkata kepada Asham, “ Pergilah engkau wahai Asham. Sekarang engkau sudah menjadi manusia merdeka. Aku melakukannya kerana Allah.”

Asham berasa gembira dan ketawa. Fatimah bertanya kehairanan, “ Kenapa ketawa begitu?”

Asham menjawab, “ Aku ketawa kerana kagum dan takjub dengan keberkatan rantai ini. Ia telah mengenyangkan orang yang lapar, menutup aurat orang yang telanjang, memenuhi hajat orang yang fakir, dan membebaskan orang yang dimiliki (hamba).”
 Sumber:  Buku Keajaiban Firasat (Muhadur Haji Joll)

0 comments:

Post a Comment