KITA SAMA SAHAJA.. BEZANYA CUMA AMALAN KITA..

Abu Dzhar menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda, “ Dibukanya atap rumahku dan aku pada ketika itu ada di Mekah, lalu Jibrail turun dan membelah dadaku serta dibasuhnya dengan air zam-zam. Selepas itu, dia datang dengan membawa sebuah bejana yang dibuat daripada emas yang telah dipenuhi dengan hikmat kebijaksanaan dan keimanan dan dituangkan kedalam dadaku. Kemudian Jibrail menutupnya kembali, lalu dipegangnya tanganku dan mengajak aku mengikutnya.

Jibrail membawa aku naik ke langit dunia yang nampak pada pandangan kita ini. Lalu Jibrail berkata kepada penjaga langit dunia, “ Bukalah pintu langit ini.” Penjaga pintu langit bersuara, “ Siapakah ini?” Lalu Jibrail menjawab, “ Ini Jibrail.” Penjaga pintu langit bertanya lagi, “ Apakah ada orang lain bersama kamu.?” Jibrail menjawa,” Ya ada, yang bersama dengan ku ialah Nabi Muhammad S.A.W.  Bertanya lagi penjaga pintu langit “ Apakah Nabi Muhammad S.A.W. telah diperintahkan untuk mengadapNya?” Jawab Jibrail,” Ya 

Setelah penjaga itu membuka pintu langit, maka Jibrail dan Nabi Muhammad naik ke langit dunia. Tiba di situ,nampaklah seorang lelaki sedang duduk. Di sebelah kanannya ada sekumpulan manusia dan sebelah kirinya juga ada sekumpulan manusia. Jikalau orang itu memandang kekanan dia ketawa dan jikalau dia memandang kekiri dia menangis!. Orang itu lalu mengucapkan padaku “ Marhaban” ertinya bergembira sekali dengan kedatangan kamu ialah seorang nabi yang soleh dan putera yang soleh.

Aku bertanya kepada Jibrail,” Siapakah orang ini?” Jawab Jibrail, “ Dia adalah Nabi Adam dan kelompok manusia yang ada di sebelah kanan di antara mereka itu ahli syurga dan sekelompok lagi yang disebelah kirinya itu adalah ahli neraka. Sebab itulah apabila dia memandang kekanan dia ketawa dan apabila dia memandang ke kiri dia menangis!”
 
Demikianlah sehingga Jibrail membawa aku naik ke langit kedua. Apabila sampai pada langit ke dua, Jibrail berkata kepada penjaga langit, “ Bukalah pintu ini.” Penjaga langit berkata seperti apa yang dikatakan oleh penjaga langit pertama, kemudian barulah dia membuka pintu langit tersebut. Tiba-tiba aku bertemu dengan dua orang anak pakcikku iaitu Nabi Isa anak Maryam dan Nabi Yahya bin Zakaria A.S. Keduanya mengucap selamat datang kepadaku serta mendoakan semoga aku beroleh kebaikan.

Kemudian aku di bawa lagi oleh Jibrail naik ke langit ketiga. Jibrail meminta dibukakan pintunya. Penjaga pintu bertanya, “Siapa kamu?” Jawab Jibrail, “ Aku Jibrail.” Penjaga pintu langit bertanya lagi , “ Siapa bersama kamu?” Jibrail menjawab, “ Nabi Muhammad S.A.W. “ Penjaga pintu langit bertanya lagi, “ Apakah dia sudah diutus?” “Ya, dia sudah diutus,” Jawab Jibrail. Kemudian barulah pintu langit ketiga dibuka.

Sebaik saja pintu langit dibuka, aku bertemu dengan Nabi Yusuf A.S. Kecantikannya seperdua dari kecantikan yang ada Dia mengucapkan selamat datang kepadaku dan mendoakan aku beroleh kebaikan. Sesudah itu aku di bawa lagi kelangit keempat.

Setelah sampai ke langit yang keempat, Jibrail A.S. meminta penjaga langit yang keempat membuka pintu langit, lalu penjaga pintu langit bertanya, “Siapa Kamu?” Jibrail menjawab, “ Aku Jibrail.” Penjaga pintu langit bertanya lagi, “ Siapa bersama kamu?” Jibrai menjawab,” Nabi Muhammad S.A.W. bersamaku.”  Penjaga pintu langit bertanya lagi, “ Apakah dia sudah diutus?” “Ya,” Jawab Jibrail A.S. Setelah itu barulah pintu langit dibuka. Apabila dibuka saja pintu langit, aku bertemu dengan Nabi Idris A.S. Dia mengucapkan selamat datang kepadaku serta mendoakan aku memperolehi kebaikan. Allah S.W.T. berfirman dalam surah Maryam ayat 57 yang maksudnya: “ Kami naikkan dia (Idris) ketempat yang tinggi.” Kemudian Jibrail A.S. membawaku naik ke langit yang kelima.

Setelah sampai kelangit yang kelima, soalan yang sama ditanya oleh penjaga pintu langit dan dijawab dengan jawapan yang sama oleh Jobrail. Setelah pintu langit dibuka, Aku melihat Nabi Harun A.S. dan dia mengucapkan selamat datang kepadaku dan mendoakan semoga aku mendapat kebaikan. Kemudian aku di bawa oleh Jibrail ke langit ke enam.

Setelah sampai pada langit yang keenam maka soalan yang sama ditanya oleh penjaga pintu langit dan jawapan yang sama dijawab oleh Jibrail A.S. Setelah pintu langit dibuka, aku melihat Nabi Musa A.S. dan dia mengucapkan selamat datang kepadaku dan mendoakan semoga aku mendapat kebaikan. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke langit yang ketujuh.

Setelah sampai pada langit yang ke tujuh, maka soalan yang sama ditanya oleh penjaga pintu langit dan dijawab dengan jawapan yang sama oleh Jibrail A.S. Setelah pintu langit dibuka, aku bertemu dengan Nabi Ibrahim A.S. sedang bersandar pada Baitul Makmur di mana 70,000 malaikat setiap hari masuk kedalamnya dan mereka tidak pernah kembali lagi dari situ. Kemudian Jibrail A.S. membawa ku ke Sidratul Muntaha, lalu mendapatkan sebatang pohon yang daunnya seperti telinga gajah dan buahnya sebesar kendi. Setiap kali dia tertutup dengan kehendak Allah S.W.T.  dia berubah hingga tidak satupun makluk Allah sanggup mengungkap keindahan nya. Lalu Allah S.W.T. menurunkan wahyu kepada ku mewajibkan solat 50 kali sehari.

Sesudah itu aku turun ke tempat Nabi Musa A.S. dan Nabi Musa bertanya, “ Apakah yang telah diwajibkan Tuhanmu kepada umatmu?” Solat 50 kali,” jawab ku. Maka berkata Nabi Musa, Kembalilah ke Tuhanmu, mintalah keringanan sebab umatmu tidak sanggup melakukannya. Aku sendiri telah mencuba terhadap Bani Israil. “ Kata Rasulullah S.A.W.., “ Baiklah, aku kembali kepada Tuhan ku untuk mendapatkan keringanan kapada umatku.”

Maka Allah menguranginya lima, maka aku kembali kepada Musa A.S. dan kataku, “ Allah S.W.T. mennguranginya lima.” Maka kata Nabi Musa, “ Umatmu tidak akan sanggup menunaikan sebanyak itu. Kembalilah kamu kepada Tuhanmu dan mintalah keringanan untuk umatmu.”

Kata Rasulullah S.A.W. selanjutnya, Aku berulang-ulang pulang pergi antara Tuhanku Tabaraka wa Ta’ala dengan Nabi Musa A.S. sehingga akhirnya Allah S.W.T. berfirman, “ Kesimpulannya ialah lima kali sehari semalam. Bagi setiap satu kali solat, sama nilainya dengan sepuluh kali solat, maka jumlah nilainya 50 juga.”

“Dan sesiapa yang bermaksud hendak berbuat kebajikan tetapi tidak dilaksanakannya, maka dituliskan untuknya (pahala) satu kebajikan. Apabila dilaksanakan maka ditulisnya sepuluh kebajikan. Dan sesiapa yang bermaksud hendak berbuat kejahatan tetapi tidak dilaksanakannya, maka tidak akan ditulis apa-apa baginya. Tetapi jika dilaksanakannya kejahatan itu, maka akan ditulis baginya Cuma satu kejahatan.”

Sesudah aku turun kembali bertemu Nabi Musa A.S. lalu kuceritakan kepadanya apa yang difirmankan oleh Tuhanku itu. Kata Nabi Musa, “Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah keringanan..” Maka jawab Rasulullah, “ Aku telah berulang alik kembali kepada Tuhanku meminta keringanan sehingga aku merasa amat malu kepadaNya.”

Begitulah cerita bagaimana terjadinya sembahyang 5 waktu.

Sumber Buku Himpunan Kisah-Kisah Teladan

1 comments:

Anonymous said...

Terimaksih infonya sangat bermanfaat sekali .
Obat Infeksi Lambung Pada Anak

Post a Comment