KITA SAMA SAHAJA.. BEZANYA CUMA AMALAN KITA..


Arak merupakan sejenis minuman kegemaran orang bangsa Arab sejak dari zaman jahiliyah dan juga sesudah kedatangan Islam malahan sahabat-sahabat Rasulullah sendiripun meminum arak kerana ketika itu, larangan Allah terhadap minuman ini belum ada.

Arak dijadikan minuman utama dalam jamuan-jamuan yang diadakan dan diterima sebagai suatu kebiasaan dalam kehidupan.

Apabila sahabat sedar akibat daripada minuman arak itu dapat menghilangkan pertimbangan akal yang mana dapat mengakibatkan seseorang itu tanpa sega silu akan melakukan perkara-perkara yang mengaibkan mengganggu mesyarakat dengan perbuatan jenayah dan maksiat, merekapun datang mengadap Rasulullah.

Seorang dari para sahabat iaitu Umar al- Khattab mengajukan soalan kepada baginda, “ Apakah hukum di atas perbuatan meminum arak yang memabukkan hingga menyebabkan seseorang hilang kewarasan akalnya lalu menimbulkan kekacauan terhadap orang-orang di sekelilingnya.
 
Kemudian dia berdoa seraya berkata, “ Ya Allah, jelaskanlah kepada kami hukum meminum arak sebagaimana keterangan yang muktamad, yang melapangkan hati tanpa bertakwil lagi,”

Setelah itu barulah turun ayat yang menerangkan hukum meminum arak yang tersebut di dalam Surah Al- Baqarah yang bermaksud : ‘ Bertanya mereka kepadamu, Wahai Muhammad, mengenai hukum arak dan judi. Katakanlah bahawa keduanya itu adalah dosa-dosa besar sekalipun ada manfaatnya bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.’

Sesudah turun ayat ini, setengah sahabat tetap meminumnya dan bermain judi manakala setengahnya lagi enggan meminumnya kerana mengetahui dosa melakukan kedua perbuatan tersebut adalah amat berat.

Suatu hari Saiyidina Umar di panggil mengadap Rasullullah S.A.W. Setelah Umar mengadap, Rasulullah lalu mambacakan ayat itu kepadanya. Maka Umar berdoa pula, katanya, “ Wahai Tuhanku, terangkanlah pada kami hukum meminum arak sebagai keterangan yang muktamad dan menyenangkan hati.”

Doa ini diulangnya beberapa kali kerana memohon kepastian dari Allah Taala. Ini adalah kerana setelah turun ayat yang mengharamkan arak, dia mendapat tahu tentang seorang sahabat Rasulullah yang kaya bernama Abd Rahman bin Auf r.a. telah menghidangkan arak dalam suatu jamuan yang dihadiri oleh para sahabat lainnya dan salah seorang di antara mereka adalah Saiyidina Ali k.w.

Dalam majlis itu, kesemua para hadirin menjadi mabuk oleh sebab meminum arak yang di hidangkan. Demikianlah sehingga masuk waktu Magrib, ketika mereka mendirikan sembahyang, Saiyidina Ali yang menjadi imam telah tersalah membaca sepotong ayat dari Surah Al kafirun hingga berubah maksud ayatnya menjadi ‘Aku sambah apa yang kamu sembah, hai orang-orang kafir…’

Setelah itu turunlah ayat yang tersebut di dalam Surah An- Nisaa’ yang lebih kurang maksudnya: ‘Wahai sekelian orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri solat sedangkan kamu dalam keadaan mabuk.’

Setelah turun ayat itu, dipanggillah kembali Saiyidina Umar, lalu dibacakan oleh baginda ayat yang baru turun itu.

Apabila Allah mengharamkan minum arak dalam waktu sembahyang Maghrib, maka sahabat-sahabat meminum arak selepas sembahyang Isyak. Jika mereka mabuk sebelah malamnya, keesokan paginya mereka telah kembali seperti sediakala. Apabila diminum arak itu selepas sembahyang Subuh, maka akan sedar pula pada waktu masuk sembahyang Zuhur.

Suatu ketika seorang sahabat bernama Utban bin Malik telah mengadakan satu jamuan dan dijemput beberapa orang dari para sahabat menghadirinya.

Seorang daripada mereka bernama Saad bin Abi Waqqas. Di dalam jamuan itu, dihidangkan kepala unta yang telah dibakar. Dimakanlah oleh mereka hidangaan itu, mereka membanggakan diri dengan keturunan dan memuji kehebatan diri masing-masing. Dalam pada itu, seorang sahabat bernama Saat bin Abi Waqqas bersyair dan memuji kaumnya sebagai orang-orang yang gagah berani sambil mencaci kaum Ansar yang dikatakan nya sebagai penakut dan lemah. Apabila mendengar cemuhan itu, seorang dari kaum Ansar bangun mengambil rahang unta lalu dipukulnya di kepala Saad bin Abi Waqqas hingga luka parah.

Maka pergilah Saad mengadap Rasulullah mengadukan perbuatan orang Ansar ke atas dirinya. Ketika itu Saiyidina Umar ada bersama baginda. Bila dilihat kejadian itu berpunca dari sebab minuman arak,  dia lalu berdoa, Ya Tuhanku, terangkanlah pada kami hukum meminum arak itu dengan keterangan yang muktamad dan menyenangkan hati.”

Maka turunlah ayat yang tersebut di dalam Surah Al- Maaidah yang sekira-kira maksudnya : ‘ Bahawasanya syaitan mahu menimbulkan permusuhan di antara kamu dan saling benci membenci dengan sebab minuman arak dan permainan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan sembahyang, maka mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu?”

Setelah turunnya ayat itu Rasulullah memanggil Umar datang mengadap. Baginda lalu membaca ayat yang baru turun itu kepadanya. Setelah mendengar ayat itu, Umar dan para sahabat berkata, “ Berhentilah kami, berhentilah kami….”

Semenjak peristiwa itulah arak diharamkan secara muktamad sehingga kini.

1 comments:

Unknown said...

terima kasih memberikan ilmu yang tidak disangka wujud....terima kasih banyak-banyak kerana menulis blog ini!

Post a Comment