Arak merupakan sejenis
minuman kegemaran orang bangsa Arab sejak dari zaman jahiliyah dan juga sesudah
kedatangan Islam malahan sahabat-sahabat Rasulullah sendiripun meminum arak
kerana ketika itu, larangan Allah terhadap minuman ini belum ada.
Arak dijadikan minuman
utama dalam jamuan-jamuan yang diadakan dan diterima sebagai suatu kebiasaan
dalam kehidupan.
Apabila sahabat sedar
akibat daripada minuman arak itu dapat menghilangkan pertimbangan akal yang
mana dapat mengakibatkan seseorang itu tanpa sega silu akan melakukan
perkara-perkara yang mengaibkan mengganggu mesyarakat dengan perbuatan jenayah
dan maksiat, merekapun datang mengadap Rasulullah.
Seorang dari para
sahabat iaitu Umar al- Khattab mengajukan soalan kepada baginda, “ Apakah hukum
di atas perbuatan meminum arak yang memabukkan hingga menyebabkan seseorang
hilang kewarasan akalnya lalu menimbulkan kekacauan terhadap orang-orang di
sekelilingnya.
Kemudian dia berdoa
seraya berkata, “ Ya Allah, jelaskanlah kepada kami hukum meminum arak
sebagaimana keterangan yang muktamad, yang melapangkan hati tanpa bertakwil
lagi,”
Setelah itu barulah
turun ayat yang menerangkan hukum meminum arak yang tersebut di dalam Surah Al-
Baqarah yang bermaksud : ‘ Bertanya mereka kepadamu, Wahai Muhammad, mengenai
hukum arak dan judi. Katakanlah bahawa keduanya itu adalah dosa-dosa besar
sekalipun ada manfaatnya bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada
manfaatnya.’
Sesudah turun ayat
ini, setengah sahabat tetap meminumnya dan bermain judi manakala setengahnya
lagi enggan meminumnya kerana mengetahui dosa melakukan kedua perbuatan
tersebut adalah amat berat.
Suatu hari Saiyidina
Umar di panggil mengadap Rasullullah S.A.W. Setelah Umar mengadap, Rasulullah
lalu mambacakan ayat itu kepadanya. Maka Umar berdoa pula, katanya, “ Wahai
Tuhanku, terangkanlah pada kami hukum meminum arak sebagai keterangan yang
muktamad dan menyenangkan hati.”
Doa ini diulangnya
beberapa kali kerana memohon kepastian dari Allah Taala. Ini adalah kerana
setelah turun ayat yang mengharamkan arak, dia mendapat tahu tentang seorang
sahabat Rasulullah yang kaya bernama Abd Rahman bin Auf r.a. telah
menghidangkan arak dalam suatu jamuan yang dihadiri oleh para sahabat lainnya
dan salah seorang di antara mereka adalah Saiyidina Ali k.w.
Dalam majlis itu,
kesemua para hadirin menjadi mabuk oleh sebab meminum arak yang di hidangkan. Demikianlah
sehingga masuk waktu Magrib, ketika mereka mendirikan sembahyang, Saiyidina Ali
yang menjadi imam telah tersalah membaca sepotong ayat dari Surah Al kafirun
hingga berubah maksud ayatnya menjadi ‘Aku sambah apa yang kamu sembah, hai
orang-orang kafir…’
Setelah itu turunlah
ayat yang tersebut di dalam Surah An- Nisaa’ yang lebih kurang maksudnya: ‘Wahai
sekelian orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri solat sedangkan kamu
dalam keadaan mabuk.’
Setelah turun ayat
itu, dipanggillah kembali Saiyidina Umar, lalu dibacakan oleh baginda ayat yang
baru turun itu.
Apabila Allah
mengharamkan minum arak dalam waktu sembahyang Maghrib, maka sahabat-sahabat
meminum arak selepas sembahyang Isyak. Jika mereka mabuk sebelah malamnya,
keesokan paginya mereka telah kembali seperti sediakala. Apabila diminum arak
itu selepas sembahyang Subuh, maka akan sedar pula pada waktu masuk sembahyang
Zuhur.
Suatu ketika seorang
sahabat bernama Utban bin Malik telah mengadakan satu jamuan dan dijemput
beberapa orang dari para sahabat menghadirinya.
Seorang daripada
mereka bernama Saad bin Abi Waqqas. Di dalam jamuan itu, dihidangkan kepala
unta yang telah dibakar. Dimakanlah oleh mereka hidangaan itu, mereka
membanggakan diri dengan keturunan dan memuji kehebatan diri masing-masing.
Dalam pada itu, seorang sahabat bernama Saat bin Abi Waqqas bersyair dan memuji
kaumnya sebagai orang-orang yang gagah berani sambil mencaci kaum Ansar yang
dikatakan nya sebagai penakut dan lemah. Apabila mendengar cemuhan itu, seorang
dari kaum Ansar bangun mengambil rahang unta lalu dipukulnya di kepala Saad bin
Abi Waqqas hingga luka parah.
Maka pergilah Saad
mengadap Rasulullah mengadukan perbuatan orang Ansar ke atas dirinya. Ketika
itu Saiyidina Umar ada bersama baginda. Bila dilihat kejadian itu berpunca dari
sebab minuman arak, dia lalu berdoa, Ya
Tuhanku, terangkanlah pada kami hukum meminum arak itu dengan keterangan yang
muktamad dan menyenangkan hati.”
Maka turunlah ayat
yang tersebut di dalam Surah Al- Maaidah yang sekira-kira maksudnya : ‘
Bahawasanya syaitan mahu menimbulkan permusuhan di antara kamu dan saling benci
membenci dengan sebab minuman arak dan permainan judi dan mahu memalingkan kamu
daripada mengingati Allah dan mengerjakan sembahyang, maka mahukah kamu
berhenti daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu?”
Setelah turunnya ayat
itu Rasulullah memanggil Umar datang mengadap. Baginda lalu membaca ayat yang
baru turun itu kepadanya. Setelah mendengar ayat itu, Umar dan para sahabat
berkata, “ Berhentilah kami, berhentilah kami….”
Semenjak peristiwa
itulah arak diharamkan secara muktamad sehingga kini.
1 comments:
terima kasih memberikan ilmu yang tidak disangka wujud....terima kasih banyak-banyak kerana menulis blog ini!
Post a Comment