KITA SAMA SAHAJA.. BEZANYA CUMA AMALAN KITA..

Dalam sejarah tokoh kekafiran yang paling dasyat adalah Firaun. Dia bukan sahaja tidak mengakui adanya tuhan malah dia mengangkat dirinya sebagai tuhan yang berhak disembah sehingga tergamak dia menyatakan di hadapan rakyat jelata, “ Akulah tuhan kamu yang maha tinggi.”

Orang-orang kafir seperti Raja Namrud, Abu Jahal, Abu Lahab dan beberapa orang lagi yang terkenal dalam sejarah, mereka tetap mengakui adanya tuhan. Hanya mereka tidak mengakui tuhan mereka adalah Allah Yang Maha Esa.

Segala seruan Nabi Musa dan Harun sedikit pun tidak pernah dia hiraukan malah pernah suatu ketika Firaun naik ke puncak sebuah bangunan yang tinggi dan melepaskan anak panah ke langit. Kebetulan anak panah itu jatuh di hadapannya dengan simbahan darah, lalu dia mengistiharkan pada rakyat jelata bahawa dia telah membunuh Tuhan Nabi Musa sedangkan darah tersebut hanyalah darah burung yang Allah tetapkan mengenai sasaran anak panahnya supaya dia bertambah kufur dengan kesombongan dan kekafirannya.
 
Seluruh rakyatnya dipaksa untuk menyembah dan sujud padanya. Sesiapa yang inkar, pasti dibunuhnya sehingga seluruh rakyatnya merasa takut dan tidak mempunyai pilihan kecuali menyembahnya.

Walaupun seluruh rakyat telah menyembahnya sebagai tuhan, ada seorang yang paling dekat hubungan dengan dirinya berani mengingkarkan dirinya sebagai tuhan iaitulah isterinya sendiri, Asiah.

Dialah satu-satunya boring yang beriman kepada Allah di istana Firaun. Rahsia keimanannya yang disembunyikan selama ini telah terbongkar berpunca dari ucapan  perkataan “Allah” yang terbit dari mulutnya secara tidak sengaja.

Firaun berusaha memujuk supaya dia kembali kepada kekafirannya. Dia berkata : “ Wahai isteriku, tahukah engkau akibat orang yang mengingkari diriku sebagai tuhan? Sebelum engkau menyesal, ubahlah pendirianmu!” Jawab Asiah dengan tegas, “ Wahai Firaun, Pendirianku tidak akan berubah walau apapun yang akan menimpa diriku dan perlu engkau ingat bahawa engkau dan aku adalah sama-sama manusia biasa. Tuhanmu dan Tuhanku adalah Allah.”

Firaun berusaha memujuknya dengan kata-kata lemah lembut tetapi tetap tidak berhasil, lalu digunakan kekerasan. Kata Firaun, “ Hai Asiah, jika engkau tidak mahu mengubah pendirianmu, pasti engkau akan aku pancung!”

Jawab Asiah, “ Wahai Firaun, lakukanlah apa yang engkau mahu tetapi sedikitpun engkau tidak akan dapat menguasai pendirianku dan dengarlah sekali lagi aku nyatakan bahawa Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah.”

Setelah usaha mempengaruhinya secara lemah lembut mahupun secara keras juga tidak berhasil, lalu Firaun membuat pengumuman pada sekelian rakyatnya bahawa seorang perempuan akan di pancung kepalanya akibat keengganannya untuk mengakui Firaun sebagai tuhan iaitu Asiah, isterinya sendiri. Semoga hukuman ini akan menjadi pengajaran bagi sesiapa yang ingkar akan ketuhanan Firaun.

Pada masa yang telah ditentukan, berkumpulah sekelian rakyat di suatu tempat, di mana Asiah diikat pada sebatang pokok kurma. Firaun masih tidak berputus asa dan cuba memujuknya. Katanya, “ Wahai Asiah, ubahlah pendirianmu. Engkau akan kumaafkan.” Berulang kali pula Asiah menjawab, : Tidak … tidak, janganlah engkau cuba mempengaruhiku lagi. Sia-sia sahaja perbuatanmu.”

Lalu Asiah memohon pada Allah sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam Al-Quran surah At-TAhrim ayat 11 yang bermaksud , “ Dan Allah mengemukakan satu missal perbandingan bagi orang-orang yang beriman iaitu perihal isteri Firaun ketika dia berkata,” Tuhanku, binalah untukku sebuah istana  disisiMu dalam syurga dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan perbuatannya serta selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim.”

Permohohnan Asiah diperkenankan oleh Allah, lalu Allah perintahkan para malaikat, “ Sesungguhnya hambaKu memohon padaKu dan Aku perkenankan permohonannya. Maka perlihatkanlah padanya gambarannya  kerana  suaminya yang didunia akan Aku ganti dengan suami yang lebih baik di dalam syurga, istana nya yang ada di dunia akan Aku ganti dengan istana yang lebih baik di dalam syurga. “

Maka malaikatpun menunjukkan gambaran keindahan syurga sebagaimana permohonan Asiah. Pada ketika itu Asiah tersenyum seolah-olah dia mencabar kematiannya.

Asiah menghadapi kematian tidak dalam keadaan bersedih, juga tidak menangis malah tersenyum.

Sumber: Buku Himpunan Kisah-Kisah Teladan

0 comments:

Post a Comment