Kisah Nabi Yusuf tersurat dalam Surah
ke-12 al-Qur'an. Nama surah itu pun mengambil sempena nama Nabi Yusuf,
iaitu Surah Yusuf. Menurut
suatu sumber, baginda dikatakan tinggal di sekitar tahun 1700 S.M, iaitu
kira-kira 3,700 tahun dahulu. Atau, kurang lebih dua ribu tiga ratus tahun
sebelum kemunculan Nabi Muhammad.
Kisah Nabi Yusuf adalah cerita yang
paling baik dalam al-Qur'an. Firman-Nya:
"Kami menceritakan kepada kamu
cerita yang paling baik dalam apa yang Kami mewahyukan kamu, al-Qur'an
ini" (12:3).
Cerita bermula dengan mimpi Nabi Yusuf
semasa dia kanak-kanak. Mimpi itu diceritakannya kepada bapanya Yaakub, yang
juga menjadi seorang Nabi.
"Apabila Yusuf berkata kepada
bapanya, 'Ayah, saya melihat sebelas bintang, dan matahari, dan bulan; saya
melihat mereka sujud kepada saya" (12:4).
Setelah mendengar cerita Yusuf,
bapanya melarang mimpi itu daripada diceritakan kepada saudara-saudaranya. Dia
juga memberi tahu Yusuf bahawa Tuhan telah memilihnya dan mengajarnya takwil
mimpi.
Abang-abangnya tidak suka padanya
kerana mereka sangka Yusuf dan adiknya Bunyamin lebih dicintai oleh bapa mereka
daripada mereka. Lalu mereka bercadang untuk membunuh atau membuang Yusuf ke
tempat lain. Akan tetapi, seorang daripada mereka berkata, “Tidak, janganlah
membunuh Yusuf, tetapi lemparlah dia ke dasar perigi, dan sebahagian pengembara
akan memungutnya, jika kamu mahu melakukan” (12:10).
Setelah menetapkan rancangan itu
mereka pergi kepada bapa mereka, meminta kebenarannya, supaya Yusuf dapat pergi
bersama mereka untuk bersuka-suka dan bermain-main pada keesokan hari.
Pada mulanya bapa mereka keberatan
untuk membenarkan Yusuf pergi bersama mereka, dengan berkata "Ia
menyedihkan aku bahawa kamu pergi dengannya, dan aku takut akan serigala
memakannya sedang kamu lalai daripadanya" (12:13).
"Maka apabila mereka pergi
dengannya, dan mereka bersetuju untuk meletakkan dia di dasar perigi, lalu Kami
mewahyukannya, 'Kamu akan memberitahu mereka mengenai perbuatan mereka ini
apabila mereka tidak menyedari'" (12:15).
Mereka balik kepada bapa mereka pada
waktu isyak, menangis dan berkata, "Ayah, kami pergi berlumba lari, dan
meninggalkan Yusuf dengan barang-barang kami, lalu serigala memakannya. Tetapi
ayah tidak akan mempercayai kami, walaupun kami berkata benar."
Firman Allah dalam Al-Quran bermaksud:
“ Dan mereka datang kepada ayah mereka
pada petang hari sambil menangis.”
“ Mereka berkata .” Wahai ayah kami!
Sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf berhampiran
barang-barang kami, lalu dimakan oleh serigala, walaupun kami benar “
Mereka datang membawa baju Yusuf yang
telah berlumuran darah palsu, lalu Yaakub berkata: “ Nafsu kamu memudahkan
mendorong urusan ini. Sabarlah yang lebih baik, Allah tempat meminta tolong
tentang kejadian yang kamu terangkan itu.” (Yusuf 16-18)
Yusuf berada di dalam perigi tersebut
seorang diri, diliputi oleh kegelapan dan kesunyian yang mencengkam. Ia melihat
keatas, kebawah, ke kanan dan ke kiri memikirkan bagaimana ia dapat
mengeluarkan dirinya daripada dasar perigi tersebut. Namun demikian tiada
sesuatu pun yang dapat menolongnya. Ia hanya dapat melihat bayangan tubuhnya di
dalam air. Sesungguhnya suatu ujian yang amat berat bagi seseorang semuda Nabi
Yusuf. Nabi Yusuf tidak mempunyai banyak pengalaman dalam meniti kehidupan
Bahkan inilah kali pertama ia berpisah dengan ayahnya yang sangat menyanyangi
dan memanjakannya. Ujian tersebut amat berat sekali dirasakan, kerana ia adalah
saudara-saudaranya sendiri, putera-putera ayahnya.
Tidak lama kemudian, pengembara-pengembara
datang ke perigi di mana Yusuf berada di dasarnya. Mereka mengutus seorang
pengambil air lalu dia menurunkan timbanya. Tiba-tiba dia berkata, "Oh,
berita gembira! Ini seorang anak lelaki yang tampan."
Mereka mengambil Yusuf dan merahsiakannya
sebagai barang dagangan; dan Allah mengetahui apa yang mereka buat. Kemudian
mereka menjual Yusuf dengan harga yang murah, hanya beberapa dirham sahaja,
kerana mereka tidak menghargainya.
Akhirnya Nabi Yusuf telah dibeli oleh
Ketua Polis Mesir yang bernama Fathifar sebagai penawar pertama. Pembesar yang
membelinya, dari Mesir, berkata kepada isterinya, "Berilah dia tempat
tinggal yang mulia, dan boleh jadi dia akan bermanfaat kepada kita, atau kita
mengambil dia sebagai anak sendiri."
Maka tinggallah Nabi Yusuf bersama
orang Pembesar Mesir yang membelinya sehingga dewasa. Dia menjadi seorang
lelaki yang amat kacak. Kekacakan beliau membuatkan isteri Pembesar Mesir
bernama Zulaikha, tergoda.
Pada suatu hari Yusuf dipanggil dan
Zulaikha meluahkan rasa cintanya terhadap Yusuf. Luahan perasaan tersebut
ditolak Yusuf yang terkenangkan jasa serta cara ibu angkatnya memelihara dan
memberinya makan, minum serta pakaian kepadanya. Perasaan tersebut menimbulkan
perasaan takut dan malu di dalam diri Yusuf.
Zulaika masih tetap memaksanya
sehinggakan Yusuf lari. Zulaikha mengejarnya lalu menarik bahagian belakang
baju Yusuf sehingga terkoyak. Kalau tidak kerana pertolongan Allah, Nabi Yusuf turut
tergoda pada Zulaikha.
Mereka mendapati ketua mereka di depan
pintu. Perempuan itu berkata, "Apakah balasan bagi orang yang menghendaki
kejahatan terhadap keluarga kamu, melainkan bahawa dia dipenjarakan, atau satu
azab yang pedih?"
Yusuf berkata, "Dia yang menggoda
saya". Lalu seorang daripada ahli keluarga itu memberi suatu penjelasan,
"Jika bajunya dikoyakkan di bahagian depan, maka Zulaikha itu telah
berkata benar, dan Yusuf berdusta, tetapi jika bajunya dikoyakkan di bahagian
belakang, maka Zulaikha itulah yang berdusta, dan Yusuf orang yang
benar."
Apabila ketua mereka melihat bajunya
dikoyakkan dari belakang, dia berkata, "Ini muslihat perempuan daripada
kamu; sesungguhnya muslihat kamu besar. Yusuf, berpalinglah daripada ini, dan
kamu, Zulaikha, mintalah ampun atas kesalahan kamu; sesungguhnya kamu
bersalah."
Kejadian itu sampai ke telinga
wanita-wanita tertentu di kota. Mereka berbisik, "Isteri Pembesar menggoda
pemudanya yang menundukkan hatinya dengan cinta!"
Setelah Zulaikha mendengar
bisikan-bisikan licik mereka, dia mengutus kepada mereka, dan menyediakan bagi
mereka tempat-tempat bersandar, kemudian dia memberikan tiap-tiap seorang
daripada mereka sebilah pisau.
Kemudian, dia menyuruh Yusuf pergi
kepada perempuan-perempuan tersebut. Apabila mereka melihatnya, mereka sangat
kagum padanya, lalu mereka memotong tangan-tangan mereka, dengan berkata,
"Dijauhkan Allah! Bukanlah ini manusia; dia tidak lain, hanyalah seorang
malaikat yang mulia."
Lalu Zulaikha berkata, "Inilah
dia orangnya yang kamu mencela aku dengannya. Benar, aku telah menggoda dia,
tetapi dia menolak. Dan, jika dia tidak membuat apa yang aku memerintahkannya,
dia akan dipenjarakan."
Yusuf berkata, "Pemeliharaku,
penjara lebih aku menyukai untukku daripada apa yang mereka menyeru aku
kepadanya, dan jika Engkau tidak memalingkan muslihat mereka daripada
aku, tentu aku akan berkeinginan benar pada mereka, dan aku menjadi orang yang
bodoh."
Pemeliharanya pula menyahutinya, dan
Dia memalingkan daripadanya muslihat perempuan-perempuan itu; sesungguhnya
Dialah Yang Mendengar, Yang Mengetahui.
Maka Yusuf dimasukkan ke dalam
penjara. Bersama dia adalah dua orang pemuda. Seorang daripada mereka berkata,
"Aku bermimpi bahawa aku memerah anggur." Berkata yang lain,
"Aku bermimpi bahawa aku membawa roti di atas kepalaku dan burung-burung makan
sebahagiannya. Beritahulah kami takwilnya. Kami melihat bahawa kamu adalah
orang yang berbuat baik."
Sebelum menerangkan takwilnya kepada
kedua-dua pemuda itu, Yusuf mengambil kesempatan tersebut untuk berdakwah
kepada orang ramai, sambil berkata: Aku adalah seorang Nabi dan Rasul Allah.
Aku akan menjelaskan takwil mimpi kedua-dua pemuda ini, berdasarkan dengan apa
yang telah diwahyukan kepada kami, dan bukannya berpandukan kata-kata yang
dikemukakan oleh ahli-ahli tenung dan nujum. Mereka hanya mempergunakan pertolongan
syaitan yang menjadi musuh Allah dan belum tentu akan kebenarannya.
Yusuf kemudiannya menerangkan takwil
mimpi pemuda pertama, ialah dia segera keluar dari penjara dan kembali bekerja
seperti sebelum masuk penjara, iaitu sebagai tukang kebun raja.
Takwil mimpi pemuda yang kedua, ialah
ia akan dihukum salib, dan bangkainya akan di makan oleh burung-burung.
Kemudian dia berkata kepada orang yang
dia menyangka akan diselamatkan antara keduanya, "Sebutlah aku kepada tuan
kamu." Akan tetapi, syaitan menjadikan dia lupa untuk menyebutnya, supaya
dia tetap di dalam penjara selama beberapa tahun.
Suatu hari, raja berkata, "Aku
melihat dalam mimpi tujuh ekor lembu yang gemuk, dan tujuh yang kurus memakan
mereka; dan tujuh tangkai bijirin yang hijau, dan tujuh yang lain kering. Wahai
pembesar-pembesarku, putuskanlah kepadaku mimpiku."
Tiada seorang pun antara mereka yang
tahu. Kemudian pemuda yang telah diselamatkan dahulu berkata, setelah teringat,
"Aku sendiri akan memberitahu kamu takwilnya, maka utuslah aku."
"Wahai Yusuf orang yang benar,
putuskanlah kepada kami mengenai tujuh ekor lembu yang gemuk, yang tujuh yang
kurus memakan, dan tujuh tangkai bijirin yang hijau, dan tujuh yang lain
kering, supaya aku kembali kepada mereka agar mereka mengetahui."
Yusuf berkata, "Kamu menyemai
tujuh tahun seperti biasa; apa yang kamu tuai, tinggalkanlah ia pada
tangkainya, kecuali sedikit daripadanya kamu makan. Kemudian sesudah itu, akan
datang kepada kamu tujuh tahun yang keras yang memakan apa yang kamu menyediakan
bagi mereka, semua, kecuali sedikit yang kamu simpan. Selepas itu, akan datang
satu tahun yang manusia diberi pertolongan hujan, dan padanya mereka
memerah."
Setalah raja dikhabarkan mengenai
takwil mimpinya itu, ia mengakui bahawa takwil tersebut amat berkesan sekali.
Raja memerintahkan agar Yusof dibawa kehadapannya, dengan harapan mudah-mudahan
ia mempunyai pandangan-pandangan yang lain yang berguna untuk keselamatan
bersama.
Nabi Yusuf telah dibebaskan dari penjara dan diberikan
kedudukan sebagai bendaharawan. Segala urusan perbendaharaan Negara diserahkan
kepada Nabi Yusuf untuk mengaturnya. Tugasan tersebut dapat dilaksanakan oleh
Nabi Yusuf dengan baik.
Begitulah Allah menempatkan Yusuf di
tempat yang paling layak baginya, sesudah bertahun-tahun meringkuk dalam
penjara.
"Maka Kami meneguhkan Yusuf di
bumi untuk dia menetap di mana sahaja dia kehendaki, dan Kami tidak
mensia-siakan upah orang-orang yang berbuat baik" (12:56).
Setelah tujuh tahun Nabi Yusuf memegang
jawatan itu, rakyat semakin kukuh bersatu dan negaranya semakin makmur. Tempoh
tujuh tahun mencukupi untuk menghimpun kekuaan ekonomi di Negeri Mesir sebagai
persiapan mengharungi tujuh tahun yang panas terik dan kemarau.
Kedatangan musim kemarau selama 7
tahun, menjadikan bumi kering, tanaman tidak menjadi dan melanda beberapa buah
Negara.
Penduduk mesir amat beruntung kerana
Nabi Yusuf telah meramalkan tentang musim kemarau dan telah bersedia
melengkapkan gudang-gudang makanan yang banyak sebagai persediaan musim
kemarau. Rakyat yang tinggal di sempadan negeri Mesir turut meminta bantuan
kerajaan Mesir termasuk keluarga Nabi Yaakub.
Suatu hari, saudara-saudara Yusuf
datang lalu masuk kepadanya. Dia kenal akan mereka, tetapi mereka tidak
mengenalinya. Mereka datang untuk meminta pertolongan makanan.
Setelah Yusuf menyiapkan bekal untuk
mereka, dia berkata, "Datangkanlah kepadaku saudara kamu yang tertentu
daripada bapa kamu. Tidakkah kamu melihat aku menepati sukatan, dan aku yang
terbaik daripada penerima-penerima tamu? Tetapi jika kamu tidak mendatangkan
dia kepadaku, maka tidak akan ada sukatan bagi kamu denganku, dan tidak juga
kamu dapat mendekatiku."
Mereka menjawab, "Kami akan
memujuk bapa kami; itu kami akan buat."
Lalu Yusuf menyuruh budak-budak
suruhannya meletakkan balik barang-barang mereka (yang dibawa untuk mengganti
bekalan makanan daripada Yusuf) ke dalam pundi-pundi mereka supaya mereka
mengenalinya apabila mereka balik kepada keluarga mereka.
Apabila mereka kembali kepada bapa mereka,
mereka berkata, "Ayah, sukatan itu akan dinafikan kepada kami, maka
utuslah bersama kami saudara (Bunyamin) kami supaya kami mendapatkan sukatan
itu. Sesungguhnya kami akan menjaganya."
Bapa mereka berkata, "Adakah aku
akan mempercayai kamu kepadanya seperti aku mempercayai kamu kepada saudaranya
dahulu?"
Dan, apabila mereka membuka
barang-barang mereka, mereka mendapati barang-barang mereka dikembalikan kepada
mereka. Mereka berkata, "Ayah, apakah yang kita menginginkan lagi?
Barang-barang kita dikembalikan kepada kita, dan kita mendapat bekalan makanan
untuk keluarga kita, dan kita akan menjaga saudara kita; kita akan mendapat
tambahan beban seekor unta. Itulah sukatan yang mudah."
"Aku tidak akan mengutusnya
bersama kamu sehingga kamu memberi aku satu janji yang teguh dengan Allah,
bahawa kamu pasti akan mendatangkannya kembali kepadaku, kecuali kamu
diliputi." Apabila mereka telah memberikannya janji mereka, dia berkata,
"Allah menjadi Wakil atas apa yang kami ucapkan."
Maka apabila mereka masuk kepada Yusuf
sekali lagi, dia mengambil saudaranya kepadanya,
seraya berkata, "Aku saudara kamu; maka janganlah kamu berdukacita
terhadap apa yang mereka buat."
Kemudian, apabila Yusuf menyiapkan
persiapan untuk mereka, dia meletakkan gelas minumannya ke dalam pundi saudara
yang diambilnya.
Sedang mereka mula bertolak untuk
kembali kepada keluarga mereka, datang pula orang yang menyeru, "Hai
kafilah, kamu adalah pencuri!"
Mereka bertanya sambil mendekati orang
yang menyeru, "Apa yang kamu hilang?"
"Kami kehilangan gelas berkaki
kepunyaan raja. Sesiapa mendatangkannya akan mendapat beban seekor unta; itu
aku jamin."
Mereka berkata, "Demi Allah, kamu
mengetahui bahawa kami tidak datang untuk membuat kerosakan di bumi. Kami
bukanlah pencuri."
"Apakah balasannya jika kamu
adalah pendusta?"
"Balasannya - dalam pundi sesiapa
ia didapati, maka dialah balasannya. Begitulah kami membalas orang-orang yang
zalim."
"Maka dia (Yusuf) memulakan
dengan karung-karung mereka sebelum karung saudaranya, kemudian dia mengeluarkannya
daripada karung saudaranya. Begitulah Kami membuat muslihat untuk Yusuf; dia
tidak boleh mengambil saudaranya, menurut agama (pengadilan) raja, kecuali apa
yang Allah menghendaki.
Mereka berkata, "Jika dia seorang
pencuri, seorang saudaranya adalah seorang pencuri dahulu." Tetapi Yusuf
merahsiakannya di dalam dirinya, dan tidak menampakkannya kepada mereka, dengan
berkata, "Kedudukan kamu lebih buruk; Allah sangat mengetahui apa yang
kamu menyifatkan."
Mereka berkata, "Wahai al-aziz
(yang perkasa), dia mempunyai bapa yang sangat tua; maka ambillah salah seorang
antara kami untuk mengganti tempatnya; kami melihat bahawa kamu adalah antara
orang-orang yang berbuat baik."
Berkata, "Allah menegah bahawa
kami patut mengambil sesiapa sahaja kecuali orang yang kami mendapati barang
kami padanya, kerana jika kami berbuat demikian, tentulah kami menjadi
orang-orang yang zalim" (12:76-79).
Apabila mereka kembali kepada bapa
mereka dan menceritakan hal saudaranya yang mencuri dan ditahan di Mesir
kedukaan bapanya bertambah,
"Dan dia berpaling daripada
mereka, dan berkata, 'Aduhai, dukacitaku untuk Yusuf!' Dan kedua-dua matanya
menjadi putih kerana kesedihan yang mencekiknya di dalam dirinya" (12:84).
Kemudian dia berkata, "Wahai
anak-anakku, pergilah dan carilah berita mengenai Yusuf dan saudaranya.
Janganlah berputus asa daripada kesenangan Allah; daripada kesenangan Allah,
tiada yang berputus asa melainkan kaum yang tidak percaya (kafir)."
Lalu mereka pergi kepada Yusuf dan
berkata, "Wahai al-aziz, penderitaan telah menyentuh kami dan keluarga
kami. Kami datang dengan barang-barang yang tidak berharga. Tepatilah kepada
kami sukatan, dan bersedekahlah kepada kami; sesungguhnya Allah membalas
orang-orang yang bersedekah."
Yusuf bertanya, "Adakah kamu
mengetahui apa yang kamu melakukan terhadap Yusuf dan saudaranya, ketika kamu
orang-orang yang bodoh?"
Mereka menjawab, "Mengapa, adakah
kamu benar-benar Yusuf?"
Dia berkata, "Aku Yusuf. Ini
saudaraku. Sungguh, Allah telah berbudi baik kepada kami. Sesiapa bertakwa dan
bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan upah orang-orang yang
berbuat baik."
Mereka berkata, "Demi Allah,
sesungguhnya Allah lebih menyukai kamu daripada kami, dan sesungguhnya kami
bersalah."
Yusuf berkata, "Tidak ada celaan
pada hari ini kepada kamu; Allah mengampuni kamu; Dia yang paling berpengasihan
daripada yang berpengasihan. Pergilah, ambil baju ini, dan kamu lemparlah ia
kepada muka ayahku, dan dia akan memperoleh kembali penglihatannya; kemudian
datangkanlah kepadaku keluarga kamu kesemuanya."
Maka, apabila kafilah telah berangkat,
bapa mereka berkata, "Sesungguhnya aku mendapati bau Yusuf, melainkan kamu
menuduh aku nyanyuk."
Mereka berkata, "Demi Allah,
sungguh kamu adalah dalam kesesatan kamu yang dahulu."
Tetapi apabila pembawa berita gembira
datang kepadanya dan melemparkan baju Yusuf ke mukanya, tiba-tiba dia kembali
dapat melihat. Dia berkata, "Tidakkah aku mengatakan kepada kamu bahawa
aku mengetahui daripada Allah apa yang kamu tidak tahu?"
Mereka berkata, "Ayah kami,
mintalah ampun untuk kami atas kesalahan-kesalahan kami; sesungguhnya kami
bersalah."
"Sungguh, aku akan meminta
Pemeliharaku untuk mengampuni kamu; sesungguhnya Dialah Yang Pengampun, Yang
Pengasih."
Kemudian mereka berangkat ke Mesir
untuk menemui Yusuf.
"Maka, apabila mereka masuk
kepada Yusuf, dia mengambil ibu dan bapanya kepadanya, dengan berkata,
'Masuklah kamu ke Mesir, jika Allah mengkehendaki, dalam keadaan aman.'
Dan dia menaikkan ibu dan bapanya ke
atas singgahsana; dan yang lain, jatuh bersujud kepadanya. Berkata, 'Ayah,
inilah interpretasi mimpi saya yang dahulu; Pemelihara saya telah membuatnya
benar. Dia telah berbudi baik kepada saya apabila Dia mengeluarkan saya dari
penjara, dan Dia mendatangkan kamu dari gurun setelah syaitan menyelisihkan antara
saya dan saudara saya. Pemelihara saya halus terhadap apa yang Dia
mengkehendaki; sesungguhnya Dialah Yang Mengetahui, Yang Bijaksana.
Wahai Pemeliharaku, Engkau telah
memberikan aku untuk memerintah, dan Engkau telah mengajar aku interpretasi
mimpi. Wahai Pemula langit dan bumi, Engkau Waliku (Pelindungku) di dunia dan
akhirat. Matikanlah aku dalam kemusliman, dan satukanlah aku dengan orang-orang
yang salih" (12:99-101).
Sumber :www.e-bacaan.com
0 comments:
Post a Comment